COVID-19: Peniaga kecil di Sarawak digesa beralih kepada digital

COVID-19: Peniaga kecil di Sarawak digesa beralih kepada digital

WarongKu

KUCHING: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) menggesa usahawan kecil di Sarawak agar beralih kepada digital bagi memastikan kelangsungan perniagaan mereka susulan penularan COVID-19.

Menterinya Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar (gambar) berkata berdasarkan perkembangan semasa dengan peningkatan kes serta pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan di beberapa kawasan, sukar untuk dijangka bila keadaan akan kembali pulih. 

“Saya tahu ramai pengeluar produk khusus Sarawak seperti kek lapis, menghadapi masa sukar sekarang kerana ketiadaan pelancong dari luar. Justeru, mereka perlu beralih kepada pemasaran dalam talian bagi menjangkau pelanggan berpotensi, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di seluruh dunia.

“Beralih kepada pemasaran secara digital merupakan norma baharu perniagaan, dan pada masa ini terdapat banyak platform pasaran dalam talian termasuk yang baru dilancarkan WarongKu,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Wan Junaidi berkata berdasarkan pemerhatian MEDAC dan agensinya, perniagaan yang beralih kepada digital bukan sahaja dapat bertahan tetapi juga merekodkan pertumbuhan jualan bulanan yang signifikan hingga ada yang mencapai 200 peratus.

Bagaimanapun katanya bagi memastikan proses peralihan itu berjaya, usahawan perlu menghadiri latihan serta program peningkatan kemahiran.

“Beralih kepada digital tidak bermakna anda hanya letak barang dan perkhidmatan di pasaran dalam talian. Anda perlu melengkapkan diri dengan kemahiran insaniah seperti fotografi bagi memastikan produk anda dapat menarik perhatian pelanggan.

“MEDAC dan agensinya boleh membantu anda dalam soal ini kerana kami menyediakan bantuan bimbingan untuk usahawan. Kami ada TEKUN untuk membantu dari segi pembiayaan mikro dan INSKEN bagi latihan. Mereka yang berminat diseru datang dan berbincang dengan agensi-agensi ini,” katanya. - Bernama