eBizNITA dijangka tarik potensi pelaburan RM1 juta

eBizNITA dijangka tarik potensi pelaburan RM1 juta

WarongKu

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar (tengah) bersama Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Suriani Ahmad (kiri) dan Datuk Zamri Salleh (TKSU) merasmikan Program e-Showcase Koperasi dan Usahawan Wanita di SME Corp Malaysia. - Foto NSTP/Amirudin Sahib

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) menjangkakan potensi pelaburan bernilai RM1 juta melalui sesi padan niaga pada penganjuran program e-Showcase Koperasi dan Usahawan Wanita atau eBizNITA.

MEDAC dalam kenyataan media berkata, potensi pelaburan itu dijangka membuka peluang perniagaan lebih besar kepada koperasi dan usahawan wanita.

Dijangkakan 10,000 pengunjung akan hadir secara dalam talian dengan jualan sebanyak RM250,000 sepanjang tujuh hari program berlangsung hingga 31 Oktober ini.

"MEDAC berharap penganjuran eBizNITA akan dapat membantu dan memperkasa peranan koperasi dan usahawan wanita dalam mempertingkatkan ekosistem perniagaan.eBizNITA yang julung kali diadakan, bermatlamat membantu golongan usahawan dan juga koperasi wanita untuk mendepani cabaran pandemik COVID-19 yang memberi kesan ke atas kaedah jualan secara tradisional.

Program ini menampilkan pelbagai aktiviti menarik antaranya jualan dalam talian, e-pameran produk dan perkhidmatan menerusi platform my assist, padan niaga melalui platform match me dan pembiayaan, webinar, forum serta taklimat perniagaan.

Menariknya, pengunjung yang membeli barangan secara dalam talian daripada eBizNITA akan ditawarkan perkhidmatan Warongku bagi memberi kemudahan kepada pengguna yang mana barangan yang dibeli akan dihantar ke pintu rumah.

"Ini adalah satu kemudahan yang disediakan oleh penganjur kepada pembeli dalam menyesuaikan diri dengan keadaan semasa berikutan pandemik COVID-19," katanya.

Pelaksanaan eBizNITA dibuat dengan kerjasama semua agensi di bawah MEDAC termasuk Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).