Shukor Adan buka Hub Warong

Shukor Adan buka Hub Warong

Warong Hub

Kuala Lumpur: Bekas pemain bola sepak kebangsaan, Muhammad Shukor Adan memilih Hub Warong sebagai persediaan selepas bersara kelak kerana yakin dengan perniagaan berkenaan.


Katanya, Hub Warong adalah satu cabang perniagaan yang sangat baik, dan berpotensi untuk terus maju pada masa depan.


"Saya tertarik apabila Kemp (Ketua Pegawai Operasi Idea Creative Technology Sdn Bhd (ICTSB), Kemp Kamarul Hisham Azim) menerangkan konsep Hub Warong yang bertujuan membantu peniaga kecil memasarkan produk secara dalam talian.


"Atas dasar itu saya memilih untuk menjadi seorang daripada pengusahanya apabila bersara dalam arena bola sepak nanti.


"Jadi, bagi saya perniagaan ini adalah cabang yang amat baik sekiranya pemain bola sepak yang lain berminat ingin memulakan perniagaan dengan skop yang besar," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.


Hub Warong adalah pusat penghantaran parcel atau dokumen di samping menyediakan perkhidmatan daftar Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).


Antara produk lain yang berkaitan dengan Hub Warong adalah Warongku (pembelian makanan, barangan runcit dan farmasi atas talian), Warong Rider (penghantaran menggunakan motosikal, kereta dan basikal), Warong QR (pembayaran atas talian) dan Warong Komuniti (program pendaftaran ejen jualan secara sambilan).

Shukor Adan berkata, dia memilih untuk membuka Hub Warong di Seremban 2, Negeri Sembilan dan kini sedang dalam proses pengubahsuaian.

Katanya, ia dijangka dibuka pertengahan April ini.

Sementara itu, Kemp Kamarul berkata, ketika ini, sebanyak 40 Hub Warong sudah dibuka, manakala 162 sedang dalam proses pembukaan.

"Kami juga dalam proses membuka satu perkhidmatan iaitu Warong Base, yang akan menyediakan perkhidmatan mendaftar lesen SKMM, serta memproses kad perniagaan dan fotokopi.

"Kita yakin dalam tempoh enam bulan lagi, kita ada dapat berada dalam pasaran setanding dengan syarikat yang sedia ada," katanya

Dalam pada itu, Ketua Sekretariat Gabungan Persatuan Peniaga Penjaja Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM), Datuk Zainal Abidin Abd Majid berkata, beliau yakin dengan bantuan diberikan kerajaan, Warongku boleh pergi lebih jauh.

"Terima kasih kepada SME Corp dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia (MEDAC) kerana memberi keutamaan kepada penjaja dan peniaga kecil," katanya.