Warungku, Platform E-Dagang Alternatif Peniaga Kecil

Warungku, Platform E-Dagang Alternatif Peniaga Kecil

WarongKu

Peniaga yang tidak lagi dapat berniaga di pasar kini boleh meraih keuntungan melalui platform e-dagang hasil inisiatif Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

PETALING JAYA: Lebih daripada 5,000 peniaga kecil yang terjejas akibat sekatan terhadap pasar pagi dan malam susulan perintah kawalan pergerakan (PKP) kini boleh berniaga menerusi platform e-dagang Warungku.

Platform ini hasil inisiatif Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi susulan cadangan yang dibuat Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu (PPPKM) tahun lalu.

Setiausaha Agung PPPKM Zamri Mohammed berkata, Warungku kini beroperasi sepenuhnya, dan kebanyakan ahli persatuannya telah mula berniaga dalam talian.

Zamri memberitahu FMT, pada mulanya, pendaftaran peniaga rendah kerana mereka masih berharap dapat berniaga secara biasa.

“Mereka kini sedar bahawa berniaga secara dalam talian adalah satu-satunya cara mereka boleh bertahan.

“Dengan lonjakan kes Covid-19, dan angka kematian mencatatkan rekod, tak mungkin kita boleh ada kedai fizikal sekarang,” kata beliau.

Kata Zamri, banyak kes Covid-19 dikaitkan dengan bazar Ramadan kerana orang ramai tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP), terutamanya melibatkan jalan keluar masuk ke bazar.

Zamri berkata, kementerian membantu mempromosi perniagaan Warungku dan memberi latihan kemahiran berniaga secara dalam talian.

Warungku mempunyai 222 pusat, satu bagi setiap kawasan Parlimen, dan PPPKM berharap dapat mendaftarkan 20 penghantar bagi setiap kawasan.

Ia telah menerima geran daripada SME Corp, dan 70% daripadanya akan digunakan sebagai bayaran permulaan bagi setiap penghantar. Kit permulaan bagi setiap penghantar bernilai RM250.

Caj penghantaran Warungku ditetapkan pada 20%, dan nilai ini adalah 15% lebih rendah daripada caj biasa, menurut Zamri.

Kata Zamri, Warungku berharap dapat meniru kejayaan platform lain seperti GrabFood dan FoodPanda.